Friday, February 11, 2011

Cerita dari bumi Tihamah

January 18th 2011 | Posted by admin

Dia berjalan penuh hati-hati ke Kaabah. Matanya hanya dihadap ke depan, tiada tolehan ke kiri mahupun kanan. Apatah lagi mendongak ke langit. Anak matanya hanya difokuskan memandang apa di depannya.
Dia merasakan bertambah konsentrasinya dengan telinga disumbatkan kapas bagi menghalang percakapan orang yang dituduh sebagai pembawa ajaran baru itu masuk ke telinganya.
Dia berjalan penuh keyakinan dan memulakan langkah kakinya bertawaf membesarkan tuhan-tuhan berhalanya yang penuh megah di situ.
Dalam hatinya, dia berdoa agar Tuhannya menyelamatkan dirinya dari malapetaka dan kehancuran yang di bawa oleh seorang insan gila bernama Muhammad.
Terngiang-ngiang di telinganya bagaimana tegas para pembesar Quraisy Mekah memberi amaran tentang Muhammad yang kononnya seorang Nabi, membawa ajaran baru dan ingin menghapuskan agama nenek moyang mereka.
“Jauhkan diri kamu dari mendengar kata-katanya. Dia bagaikan ahli sihir, hanya dengan kata-katanya yang tidak masuk akal itu rosak hancur masyarakat kita. Perkataannya dapat memisahkan anak dengan bapanya, merenggangkan saudara sesama saudara dan menceraikan isteri dengan suami.”
Dia memejam mata, membayangkan ketidaksanggupannya berpisah dengan ahli keluarga hanya dengan kata-kata seorang yang gila.
Dengan izin Allah ekor matanya menangkap sebuah figura dan perbuatan yang ganjil, namun sangat menarik hatinya. “Barangkali inilah dia Muhammad yang diperkatakan itu, alangkah lain sekali caranya beribadat” bisik hatinya. Tanpa disedari, dia sudah berada hampir dengan Muhammad, terpesona dan terpegun mendengar bacaan dari mulutnya.
“ Ini bukannya syair biasa, ini sesungguhnya perkataan yang sangat tinggi dan baik. Sedangkan aku ini seorang penyair juga, aku pasti ini bukan perkataan ciptaan manusia.”
Rasa hatinya melonjak-lonjak ingin tahu tentang Muhammad dan agamanya. Lalu dia pun mengikuti Nabi hingga ke rumahnya.
Dia mendengar bersungguh-sungguh setiap kalam yang keluar dari mulut seorang insan yang hebat, yang kini diperakuinya sebagai seorang Nabi penyampai risalah Allah, lalu menghulur tangan memeluk agama Islam, sekaligus menafikan dan meninggalkan kata-kata dan amaran dusta kafir Quraisy tentang Nabi Muhammad dan agamanya.
Inilah bermulanya kisah seorang sahabat, Thufail Bin Amru Ad Dausi.
Beliau merupakan ketua kabilah Ad Dausi,seorang yang disegani, berkaliber, seorang yang sangat pemurah dan mudah memberikan pertolongan. Pintunya sentiasa terbuka menerima tetamu, dan periuknya tidak pernah turun dari tungku untuk memastikan hidangan sentiasa ada bagi yang datang bertandang di rumahnya.
Hebatnya peribadi beliau sebelum jahiliyyah, begitu juga hebatnya beliau selepas dia mengucap dua kalimah syahadah.
Beliau kembali ke kampung halamannya di Tihamah, berazam mahu menyebarkan dakwah kepada kaumnya. Ayah dan isterinya adalah orang yang terawal menerima dakwahnya, namun dakwahnya tidak disambut baik oleh kaumnya, kecuali Abu Hurairah RA.
Thufail tidak patah semangat, berkat doa dan nasihat Nabi saw beliau meneruskan usaha dakwahnya. Pada suatu hari beliau bersama pengikutnya memusnahkan berhala di Dzi Kaffain. Keluarlah semua kaum Ad Dausi menyaksikan Thufail dan pengikutnya membakar berhala yang paling besar di situ.
Thufail memegang obor api dan menyucuknya di dada berhala itu, membakar rentung patung itu seraya membakar kejahiliyahan yang bersarang di jiwa kaumnya. Setelah peristiwa itu, seluruh kabilah Ad Dausi memeluk Islam dan menjadi Muslim sejati.
Thufail Bin ‘Arrir Ad Dausy senantiasa mendamping Rasulullah saw sehinggalah maut datang menjemputnya. Ketika Abu Bakar menjadi Khalifah, Thufail dan anak buahnya patuh kepada pemenintahan Khalifah Abu Bakar. Tatkala berkecamuk peperangan membasmi orang murtad, Thufail paling dahulu pergi berperang bersama-sama tentera muslimin memerangi Musailamah Al Kazzab (Musailamah si pembohong). Begitu pula putera beliau, ‘Amr bin Thu fail, yang selalu tidak mahu ketinggalan.
Ketika Thufail sedang dalam perjalanan menuju Yamamah (kawasan tempat Musailamah nenyebarkan fahamannya yang murtad), dia bermimpi sesuatu yang sangat aneh iaitu : “Aku bermimpi kepalaku dicukur. Seekor burung keluar dari mulutku, kemudian seorang perempuan memasukankku ke dalam perutnya. Anakku ‘Amr menuntut dengan sungguh-sungguh supaya dibolehkan ikut bersamaku. Tetapi dia tak dapat berbuat apa kerana antaraku dan dia ada dinding.”
“Sebuah mimpi yang indah.” Komen sahabatnya apabila Thufail datang meminta pendapat sahabatnya itu tentang mimpinya.
Namun Thufail tidak berpuas hati dengan pendapat itu.Kata Thufail, “Sekarang, baiklah aku ta’birkan sendiri. Kepalaku dicukur, ertinya kepalaku dipotong orang. Burung keluar dari mulutku, ertinya nyawaku keluar dari jasadku. Seorang perempuan memasukkanku ke dalarn perutnya, ertinya tanah digali orang, lalu aku dikuburkan. Aku berharap semoga aku tewas sebagai syahid. Adapun tuntutan anakku, dia juga berharap supaya mati syahid seperti aku. Tetapi permintaannya dikabulkan kemudian.”
Dan akhirnya Allah memakbulkan jua mimpinya itu. Dalam pertempuran memerangi pasukan Musailamah Al Kadzdazab di Yamamah, sahabat yang mulia ini, yaitu Thufail Ibnu ‘Amr Ad Dausy, mendapat kecederaan sehingga syahid.
Begitulah kisah seorang sahabat yang telah dipilih oleh Allah untuk menerima hidayahNya, percaya, berjuang dan mati dalam jalan dakwah ini. Beberapa pengajaran yang dapat kita kutip dari kisah ini adalah:
1. Hidayah adalah hak milik Allah yang mutlak. Sekiranya Allah mengkehendaki seseorang itu menerima hidayahNya, maka hidayah itu tetap akan hinggap di jiwanya sekalipun dihalang oleh pelbagai tipu daya.
“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya. (al-Baqarah: 272)
2. Pentingnya contoh ikutan yang baik untuk menangkis serangan fitnah dan sebagai bukti kebenaran.
3. Tidak berputus asa dalam menyebarkan dakwah dan menggunakan idea perubahan (taghyir) yang berhikmah sesuai dengan masyarakat. Misalnya Thufail membakar berhala sebagai simbolik berhala itu tidak mempunyai kuasa lantas membuka hati kaumnya memeluk Islam.
dari link,
http://iskandariah.ismamesir.com/?p=302

No comments:

Post a Comment