Monday, March 14, 2011

Surat Seorang Remaja Kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib

Assalamualaikum Dato’ Seri.
...
Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH
Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun
sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin dalam ruang demokrasi tidak pula
mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya
ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai
remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini menjadikan saya remaja yang
tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke
penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata).

Saya juga mampu membaca
suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. Saya sering ‘singgah’ di
laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media
arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi
kegilaan kebanyakan remaja seusia saya.

Tidaklah pula saya katakan yang
saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan saya adalah
remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari
hanyalah makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang
mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta
ini.

Izinkan saya Dato’ Seri untuk memberi pandangan saya. Pandangan
seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang
remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang
InsyaALLAH kelak, kamilah yang akan membuang undi!

Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting. Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini percaya
bahawa setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan
sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai
neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau
Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas
yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya,
apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau
Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya
jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam
(saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada
beberapa soalan untuk Dato’ Seri.

Saya amat keliru dengan dasar Program
Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca
Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban
hari saya dan rakan-rakan menerima berita dari segenap pelusuk negara, sama ada
dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’
nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’
maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’
akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga
tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan
anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis
kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan!
HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali
KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya
tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut.
Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta
ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI

Program Transformasi Ekonomi
anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri turut menggariskan perancangan untuk
MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN.
Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga
kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka,
menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur
antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan
MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di
Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan
Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8
bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung
kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul.
Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka menjelang 2014 negara
kita akan memiliki sekurang-kurangnya 10 kelab malam di zon hiburan.
Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7
bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi
mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan
hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan
malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk
persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana seorang
penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda dengan
kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya
Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan ketika Dato’ Seri
merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan
lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca
timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar
bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran?
Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala
besar yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau
lebih muda hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’
Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para cerdik pandai
generasi akan datang dengan lambakan hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan
rakan-rakan bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan
menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, iaitu hilang upayanya kami untuk menduduki
barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’
Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’
hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya
pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita,
ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain
daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar
bertitah demikian kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri,
saya begitu kecewa dan terkesima jadinya waktu melihat Dato’ Seri dan isteri
melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak
dapat mengawal hati untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar
pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam)
yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya
dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ini pemahaman Dato’
Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan
jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar
untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha
untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan
menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang
yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya
tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri
ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri
mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus
perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak apakah
harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga
satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit
yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala
buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan
neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan
meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka
dengan wang hasil judi yang mereka perolehi? Apakah budaya yang cuba dibentuk
Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini ditimbang dengan
neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai
ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri orang bangsawan.
Keturunan bangsawan. Barangkali jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun
Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri
Dato’ Seri juga kaya raya.

Maka tidak kiralah jika hari ini minyak naik
10 sen, 20 sen, 50 sen atau RM 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri
tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di
celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat
kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan.
Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai
penilainya adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya
melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk
menyekolahkan anak pun sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang,
berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN
lebih menghimpit daripada membantu).

Kadang-kadang, apabila anak-anak
yang bersekolah meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa
terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah hutang yuran persekolahan pun
masih belum dilunas. Bukan sedikit keringat yang dicurah demi sesuap rezeki
halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu
bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah
sendiri penderitaan rakyat yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang
menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10
sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat
benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi.
Janji itu dan ini sekadar untuk meraih undi. Waktu menang nanti kami rakyat
sudah dilupai. Tinggal kami bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA
RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi untuk meluahkan rasa
yang terbuku di hati dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri
yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami ‘perusuh-perusuh’ yang membantai
tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama
binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami
disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai
pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri tanpa rasa bersalah
menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara,
beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang
menuduh melulu itu bisa memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah
kerana kami rakyat yang mahu berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah
pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang
media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk
bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah
dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi betapa
peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan
suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi
begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak
menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri
bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat. Melalui
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang
berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media di bawah
kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk
memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga
menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara adalah
bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap
tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri pada setiap malam menunggu
detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu
rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah
yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana
berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri.
Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit
keadilan, pernah menjadi penyebab anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan
pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’
Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang
bersuara sebagai Bughah (derhaka) dan menuju
Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan adalah remaja muda
yang punya sikap, punya pendirian. Kami berazam untuk mengubah keadaan ini Dato’
Seri. Kami berazam dan bertekad bahawa seluruh diri kami akan diperguna untuk
memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama,
nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya
berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah
mereka sampaikan.

Jika sampai masanya untuk kami membuat pilihan, dan
keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan
sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup
dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan
kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti agar pentadbiran,
pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam,
Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan beroleh tempat tertinggi di
negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya
mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama
Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada
pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan
Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf kerana mungkin ada kesilapan
saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada lenggok
bahasanya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri
meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu
penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada
surat ini ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin
lantang menyatakan pendirian hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak
memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK
KAMI!

Sekian, terima kasih.

p/s - p/s : Salam alaik. Sila
sebar-sebarkan untuk tatapan setiap remaja dan rakyat Malaysia yang inginkan
perubahan. Demi ISLAM kita berjuang..!

http://www.facebook.com/AnakMudaBenciPolitikKotor

No comments:

Post a Comment